“Assalamu'alaikum…boleh ana duduk di
sebelah anti?” –Fathin “Oh,silakan…”
–Shafiekah
“Anti ni Nurul Shafiekah kan?” –Fathin
“Ya,ana Shafiekah… “ –Shafiekah
Hari ini merupakan hari pertama ana
menjejakkan kaki ke sekolah menengah… sekolah yang begitu indah dan mealahirkan
pelajar-pelajar yang hebat belaka. Perkenalan ana dengan Nurul Shafiekah
menjadikan kami sahabat yang amat rapat sehingga ramai kawan dan guru
menggelarkan kami ‘kembar’. Sebenarnya kami pernah satu kelas yang sama sewaktu
di sekolah rendah dulu. Tetapi Shafiekah terpaksa berpindah ke sekolah lain sewaktu
darjah 5 iaitu ke sekolah yang baru dibina di kampungnya. Akhirnya,Sekolah
Menengah Kebangsaan Tanjung Gemok menemukan kami semula. Nurul Shafiekah
seorang sahabat yang sangat baik akhlaknya. Dia juga tidak pernah bermusuhan
dengan sesiapa. Tetapi sikap lurus bendulnya kadang kala membuatkan ana
tersenyum melihatnya. Perkara yang membuatkan kami rapat ialah kami berkongsi minat yang sama.
Kami sama-sama meminati lagu-lagu nasyid terutama lagu dendangan
UNIC,INTEAM,Devotees dan banyak lagi. Shafiekah amat tertarik dengan salah
seorang ahli kumpulan UNIC iaitu Fitri Haris. Hal ini kerana suara Fitri yang
sangat merdu dan nyaring serta ‘kehenseman’ yang dimiliki oleh Fitri telah
membuatkan Shafiekah jatuh cinta kepadanya. Shafiekah pernah kata :
“Fathin,Fitri ni hensem kan? Kalau la ana nak kahwin nanti,ana nak sangat yang
muka macam Fitri ni.Ye la,kat dunia ni kan ada 7 muka yang sama,mesti ada satu
untuk ana...hehe” Ana pun tersenyum
mendengarkan kata-kata Shafiekah itu. Satu hari ana cuba melukis potret wajah
Fitri Haris dan apabila telah siap,ana tunjukkan pada Shafiekah. Dia sangat
terpegun melihat potret lukisan ana tersebut dan ana sangat gembira melihat dia
tersenyum. Dia tiba-tiba berkata pada ana : “Fathin, cantik la potret ni,apa
kata kita hantar kat NMI nak?”
NMI tu singkatan kepada rancangan
Nasyid Minggu Ini. Satu rancangan carta nasyid yang kami selalu tengok setiap
hari Ahad. Ana pun menerima idea Shafiekah tu dan ana ubah suai sikit
menjadikan kad ucapan. Lalu ana pun menghantar kad tersebut kepada NMI. Selang
beberapa minggu,kami menonton rancangan NMI dan kami sangat terkejut kerana kad
yang kami kirim terpilih untuk dibaca. Itulah kenangan manis yang kami kongsi
bersama dan tidak dapat kami lupakan.
Naik saja Tingkatan 3,kami masih di
kelas yang sama. Sebelum naik tingkatan 3,ana pernah berjanji untuk berubah
kepada yang lebih baik. Ana mulakan dengan cara berpakaian ana iaitu tudung dan
baju. Ana labuhkan tudung sekolah dan ana pakai baju sekolah yang bercekak di
lengan. Shafiekah pun sama. Sebenarnya Shafiekah yang memberikan cadangan untuk
berpakaian sedemikian kerana bagi dia,pakaian melambangkan keperibadian
seseorang. Ana juga banyak belajar dari dia terutama mengenai akhlak dan
pergaulan. Dia amat menjaga pergaulan dengan bukan mahram dan Shafiekah juga
seorang yang penyabar. Berbeza dengan ana yang sedikit panas baran. Ana juga
ketika itu selalu saja meninggalkan solat fardhu,lalu Shafiekah la yang menasihati
ana supaya tidak lagi meninggalkan solat. Ana selalu memerhatikan gerak geri
Shafiekah yang begitu lembut sedangkan ana seorang yang sedikit kasar. Ana
jadikan sahabat ana itu sebagai contoh supaya ana boleh berubah kepada yang
lebih baik. Kebaikan Shafiekah terserlah lagi tatkala dia membantu ana diwaktu
ana dalam kesusahan,dan dia juga bantu ana bangun semula tika ana kejatuhan.
Dan waktu di tingkatan 3 adalah waktu yang paling sukar bagi ana kerana masalah
yang amat besar datang menimpa ana. Ana pernah sampai tidak bersemangat untuk
ke sekolah. Hari-hari ana sangat gelap ketika itu. Masalah ana ini ana
rahsiakan dan hanya Shafiekah yang tahu rahsia masalah ana. Shafiekah tidak
senang melihat ana bersedih kerana dia juga risau peperiksaan PMR sudah dekat,dia
menasihati ana dan dia berikan kata-kata perangsang supaya ana bersemangat
semula. Walaupun sukar bagi ana,terpaksa juga ana terima dan teruskan hidup.
Alhamdulillah, berkat nasihat dan doa sahabat, ana berjaya mendapat keputusan
PMR yang baik iaitu 5A3B.
Pada bulan puasa,kami masih bersekolah
dan hari-hari kami diisi dengan tadarus al-Quran dan membantu guru. Tapi,suatu
hari tu ana tengok wajah sahabat ana muram sekali,lalu ana mendekatinya.
“Shafiekah,kenapa muram je ni…anti tahu tak, dalam perjalanan ke sekolah tadi
ana asyik terbayangkan senyuman anti je tau..tapi kenapa jadi sebaliknya ni?”
“Fathin,raya dah nak dekat. Tapi ana
dan adik-adik ana masih belum siapkan baju raya. Hari tu ana ada hantarkan kain
baju raya ana dekat mak cik sebelah rumah,tapi dia dah tak nak ambil…macam mana
ni..tak ada baju raya la ana tahun ni…” –Shafiekah
“ Tak ape la, esok anti bawa kain-kain
tu, biar ana suruh ibu ana jahitkan.Sertakan dengan baju contoh ya…” –Fathin
“Betul ke ni? Alhamdulillah…terima
kasih Fathin.. ” –Shafiekah pun tersenyum gembira sambil memeluk erat ana.
Keesokannya Shafiekah membawa kain
yang dijanjikan. Ana pun membawa pulang kain tersebut dan memberikan kepada
ibu. Ibu ana terus menjalankan tugasnya tanpa berlengah lagi sementara ana
menyiapkan kerja-kerja dapur. Keesokan harinya,ana bersiap-siap untuk ke
sekolah seperti biasa. Ana mencium tangan ayah dan ibu. Tiba-tiba ibu
menghulurkan satu beg plastik berisi kain. “Eh,ini kan kain Shafiekah semalam?”
tanya ku kepada ibu. Ibu pun menjawab sambil tersenyum, “ Ya,semua sekali RM60
sebab sepasang ibu kira RM20 saja,harga adik-beradik.” Alangkah terkejutnya ana
ketika itu kerana ibu berjaya menyiapkan 3 pasang baju kurung dalam masa 1
hari. Ana pun ke sekolah dengan gembira. Dalam perjalanan,ana terfikir sesuatu
yang nakal. Hehe…
“Shafiekah,ambil la kain ni semula.
Ana minta maaf sebab ibu ana tak dapat nak jahitkan baju raya anti. Tempahan
baju ibu ana pun dah banyak sangat. Maaf ya. Ana tak dapat nak bantu anti. “
–Fathin
Shafiekah pun pasrah dan tidak berkata
apa-apa. Tanpa shafiekah sedari,tiba-tiba datang seorang budak kelas ana yang
lain lalu membelek kain yang berada dalam bungkusan beg plastik Shafiekah
tersebut. “Wah,cantiknya baju ni,Shafiekah…Baju raya tahun ni ke?”
Shafiekah yang dari tadi sedang
bersembang dengan ana berpaling kepada suara tersebut dan dia bingkas
mendapatkan kain itu. Shafiekah terkejut melihat kainnya yang disangka masih
lagi kain sudah pun menjadi sepasang baju kurung yang cantik. Alangkah
gembiranya dia saat itu. Ana pergi mendapatkannya,dia memandang ana sambil
tersenyum gembira.
“ Nakal betul la Fathin ni. Main-main tau. Hehe Thanks ya!
Berapa semua ni?“
“Semua sekali RM60
je”-Fathin
“Terima Kasih Fathin…anti la sahabat
ana dunia dan akhirat…” –Shafiekah
Dari kiri : Nurul Shafiekah & Fathin Amalina
Setelah tamat sahaja zaman
persekolahan,kami masing-masing mendapat tawaran belajar ke Institusi Pengajian
Tinggi Awam(IPTA). Shafiekah berjaya masuk ke Universiti Islam
Antarabangsa(UIA) manakala ana Universiti Teknologi Malaysia(UTM).
Sehingga
kini persahabatan kami rapat seperti isi dan kuku,ombak dan pantai,bulan dan
malam,matahari dan siang,belon dan udara,kaki dan kasut,kipas dan angin….banyak
lagi…hehe walaupun berjauhan,kami tetap rapat. Coretan kisah kami di atas
hanyalah setitik sahaja jika nak dibandingkan dengan kisah pengorbanan para
sahabat zaman Rasulullah S.A.W. yang seluas lautan dunia. Bahawa sabda Nabi
S.A.W. yang bermaksud,
“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi
saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri “
–Riwayat Bukhari dan
Muslim.
Maka,marilah kita mengasihi dan menghargai sahabat kita selagi mereka
masih ada kerana belum tentu senyuman mereka hari ini dapat kita lihat untuk
hari esok pula. Kadang-kala sahabat itu sanggup mengorbankan masa,harta bahkan
nyawa demi kebahagiaan kita. Sanggupkah kita gembira di atas penderitaan
sahabat kita sendiri? Buang yang keruh ambil yang jernih. Mohon maaf sekiranya
coretan di atas ada mengguris hati sesiapa. Kesempurnaan itu milik
Allah,kelemahan itu adalah dari ana yang lemah. Sekian…




