Tuesday, 17 December 2013

101 Dreams to Achieved

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Dengan izin Allah,segala impian ini pasti tercapai...

1. Ada perniagaan sendiri yang maju dan terlajak laris 18/12/2013 (9.00am).
2. Perniagaan tersebut punya Brands sendiri dan akan upgrade dari semasa ke semasa bermula tahun 2013.
3. Peningkatan keyakinan diri berlaku dari semasa ke semasa bermula 13 Dis 2013.
4. Buat networking luar biasa 13 Dis 2013.
5. Jadi mentor kepada para wanita muslimah tahun 2018.
6. Memiliki rumah sendiri yang lengkap dengan bilik tidur yang selesa,tandas yang selesa dan bersih,halaman rumah yang didekorasi seperti taman bunga ala 4 musim serta ada kolam renang pada tahun 29/12/2018.
7. Memiliki kereta idaman iaitu White Hyperion Fleet Alphard 17/12/2017.
8. Beri duit belanja pada ibu dan ayah RM 2,000.00 setiap bulan tahun 2017.
9. Menunaikan Umrah dan haji tanpa tunggu giliran 2017.
10. Travel setiap negara Islam tahun 2020.
11. Setiap hari beri sedekah pada orang yang memerlukan.
12. Kembangkan empayar perniagaan ke seluruh Malaysia dan Asia.
13. Belanja sahabat-sahabat makan,shopping dan melancong 29/12/2019.
14. Tolong orang yang nak memulakan perniagaan-contohnya bagi modal dan guideline.
15. Ada driver bawakkan pergi ofis dan kilang untuk pantau pekerja-pekerja dan perniagaan.
16. Adakan kenduri Maulid,Aqiqah,Qurban,Tahlil setiap tahun dengan lancar dan berkesan.
17. Pergi umrah setiap tahun bersama family.
18. Ada bisnes tudung labuh sebagai hobi untuk ajak lebih ramai bertudung labuh 1/4/14.
19.Balik kampung jenguk ibu dan ayah bila2 masa bermula 2014.
20. Belikan ayah kereta Triton @ Hilux pada 2016.
21. Didik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar.
22. Bantu suami bina keluarga sakinah 29/12/2014.
23. Jadi anak,isteri dan ibu yang boleh memberi manfaat 2015.
24. Cukupkan semua keperluan anak dan suami mengikut syariat 2015.
25. Beli bas untuk senang buat trip family 2018.
26. Jadi mentor untuk usahawan-usahawan lain pada tahun 2018.
27. Jaga kebajikan pekerja-pekerja,sediakan hostel dan cukupkan keperluan mereka.
28. Beli rumah dan ambik penyewa pada 2020.
29. Beli lot tanah untuk dijual 2021.
30. Beli tanah kat kawasan kampung yang ada sungai dan boleh bercucuk tanam pada 2021.
31. Bina rumah untuk ibu dan ayah kat tanah kawasan kampung tu.
32. Sediakan tempantinggal untuk homeless.
33. Beri peluang kerja untuk homeless.
34. Bantu penduduk kampung Tanjung Gemok yang susah.
35. Bina satu rumah penjagaan kucing terbiar.
36. Renovate rumah atuk kat Segamat jadi rumah yang lebih selesa dan tak akan masuk air bila banjir.
37. Beri pekerjaan kepada pelajar fresh graduate yang menganggur.
38. Bantu pelajar cemerlang yang sambung ke Universiti.
39. Hantar sesiapa yang berhajat nak tunaikan haji tapi tidak berkemampuan.
40. Beri sumbangan kepada pasangan Islam yang nak bina masjid(kahwin).
41. Tambah wang bulanan untuk ibu dan ayah kpd RM 3,000 sebulan tahun 2018.
42. Belikan adik motor yang dia suka- Ducati@Ninja Kawasaki.
43. Hantar anak-anak belajar ke universiti Islam Tertua Dunia.
44. Pastikan anak-anak jadi ulama dan mujahid yang kaya dan berjaya.
45. Ada pewaris kepada perniagaan keluarga.
46. Tahun 2020 sudah punya Empayar perniagaan.
47. Beri sumbangan kewangan kepada Jemaah dan Ahli supaya kerja dakwah lancar.
48. Bagi semula duit yang pernah sahabat bagi dulu waktu susah.
49. Tolong sahabat-sahabat yang memerlukan dari setiap segi.
50. Tukar Mind Set Family kepada Bisnes Thinking-create money from business.
51. Pergi Korea-Pulau Jeju 2018.
52. Pergi London-2019.
53. Pergi Wizarding World of Harry Potter kat Universal Orlando pada 29/12/2019.
54. Pergi Istanbul - 2021
55. Panjat Gunung Kinabalu 2014.
56. Dah pergi ke seluruh pantai tercantik di Malaysia 2020.
57. Sambut anniversary dengan suami setiap tahun.
58. Sediakan apa sahaja keperluan suami dan anak-anak selagi tidak langgar syariat.
59. Ada sebuah rumah banglo yang lengkap dengan kolam renang,bilik tidur cantik,taman bunga kat atas bukit tepi pantai@pulau 2019.
60. Ada orang tolong bersihkan rumah banglo setiap hari...haha
61. Biaya perubatan ibu supaya ibu sembuh sepenuhnya.
62. Beli satu kebun buah-buahan yang besar 2ekar.
63. Beli tanah untuk buat homestay.
64. Dapat riadah dengan family setiap minggu-menunggang kuda,mendaki gunung,mandi pantai.
65. Bawa family melancong kat Indonesia 2015.
66. Bagi sumbangan kepada Rakyat Gaza,Syria,Palestin atau mangsa banjir.
67. Buat jamuan untuk meraikan orang miskin setiap 2 minggu.
68. Bagi peluang kepada pelajar lepasan SPM,STPM,Diploma,Degree untuk mulakan bisnes.
69. Beli sebuah private jet 2025.
70. Ada bilik yang berwarna pastel ala-ala english moden,dalam bilik ada tv,air cond dan bilik air canggih.
71. Upgrade surau kat Taman wawasan 2.
72. Buka satu program keusahawanan untuk diusahakan oleh penduduk Taman Wawasan 2.
73. Tulis buku tentang pengalaman hidup dan pengalaman mengelilingi dunia.
74. Buka restoran untuk diusahakan oleh Masterchef Zulaikha.
75. Pergi majlis ilmu,majlis selawat dengan suami dan anak-anak.
76. Hantar anak-anak ngaji pondok.
77. Ada 10 Juta dalam akaun Maybank 2018 dan maintain je sampai bila-bila.
78. Setiap kali hari raya boleh raikan dengan semua family besar-besaran.
79. Hadiahkan suami kereta BMW latest punya design pada hari jadinya yang ke 30.
80. Mengadakan majlis tahlil setiap bulan untuk ahli keluarga yang telah pergi manghadap yang Maha Esa.
81. Solat Tahajjud,Dhuha,zikir,selawat,tadarus diwajibkan pada diri bermula 13/12/2013.
82. Bawa suami ke IMKK akan datang pada tahun 2014.
83. Pergi kursus kahwin dengan S****** N*** pada bulan 1-2014.
84. Ada pendapatan RM10,000.00 pada 30/1/2014.
85. Menjadi isteri yang paling bahagia kepada S****** N*** pada 27/8/2014.
86. Bawa sahabat-sahabat Gen10 pergi menunaikan umrah pada 2017.
87. Habis je IMKKpada 15/12/13,bisnes OMG Brands terlajak laris dan berkembang.
88. Menjadi graduan Platinum Business School 2014.
89. Bawa 10 orang sekurang-kurangnya pergi ke program Dr.Azizan.
90. Tulis blog bertajuk "Warkah Cinta Berbau Syurga Buat Ibu dan Ayah..." 18/12/13
91. hantar "Warkah Cinta Berbau Syurga Buat Ibu dan Ayah..." pada 19/12/13
92. Train atau buat kelas untuk masyarakat pelajari kraf seperti brooch.
93. Pelajari lebih banyak cara untuk buat brooch design dan handmade craft.
94. Memberi manfaat kepada orang lain sampai mati.
95. Belajar macam mana nak main saham.
96. Pergi kelas Train The Trainer 2014.
97. Bantu OMG Brands jadi kaya dan berjaya.
98. Balas jasa sesiapa sahaja yang pernah berjasa dengan saya.
99. Melawat makam Rasulullah SAW dan para sahabat serta makam serikandi Islam pada tahun 2018.
100. Melawat rumah Dr Azizan tahun 2020.
101. Aku adalah SYAHID yang seterusnya.

Satu demi satu impian ini akan tercapai bermula dari sekarang 17/12/13 dan mohon semua yang membaca mengaminkan segala doa ini supaya anda akan mendapat manfaatnya juga suatu hari nanti. Amin...

Tuesday, 10 December 2013

Puzzle from Strangers

Heliza sudah masuk tahun ke dua menuntut di Universiti Al-Falah. Heliza merupakan seorang yang rajin dan pintar. Dia selalu menghabiskan masanya dengan mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Dia tidak suka membuang waktu dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Masanya memang banyak dihabiskan dengan mentelaah buku-buku ilmiah. Paling tidak pun dia akan bersama kawan-kawannya berkongsi ilmu dan berusrah. Heliza terkenal dengan sifatnya yang lemah lembut dan sopan. Tidak ada seorang ikhwan pun berani mendekatinya kerana ramai yang segan dengan peribadi Heliza yang sentiasa tunduk apabila berjalan.
            Hari ini seperti biasa Heliza pergi ke perpustakaan untuk 'study' kerana pensyarahnya akan  mengadakan kuiz dan 'test' hampir setiap minggu. Heliza duduk di satu meja di bahagian penjuru ruangan perpustakaan tersebut. Tidak lama selepas itu,dia bangkit dari duduknya lalu pergi ke rak untuk mencari buku yang diperlukan. Beberapa minit setelah dia menemukan buku tersebut, dia pun kembali ke tempat duduknya. Lalu dia terpandang akan satu kotak berwarna peach lembut yang berada betul-betul di atas timbunan bukunya. Heliza mencapai kotak kecil itu lalu membukanya dengan berhati-hati. Di dalam kotak hanya terdapat sekeping puzzle dan gulungan kertas kecil yang tertulis : "Stop saying 'I Wish',start saying 'I Will'..." -SPWSA

Gambar Hiasan

Heliza membelek puzzle tersebut dan menyimpannya di dalam beg. Kemudian,dia menyambung pembacaannya dengan buku-buku yang ada.
           Minggu berikutnya Heliza kembali seperti biasa ke perpustakaan setelah beberapa hari Heliza tidak ke situ. Sekali lagi Heliza menerima kepingan puzzle dan sekeping kertas kecil yang tertulis : "Don't Pray For Life to Be Easy,But Pray for Yourself to be Strong..."-SPWSA. Kali ini hati Heliza mula tertanya ...'siapa pula yang rajin sungguh mengirim kepingan puzzle dan kata-kata hikmah ini?'
Heliza menyambung pembacaannya setelah menyimpan puzzle tersebut ke dalam beg.
           Hal sedemikian berlanjutan setiap kali Heliza 'study' di perpustakaan. Heliza resah apabila kerap menerima kepingan puzzle berserta cebisan ayat tersebut. Dia tertanya-tanya siapakah gerangan insan yang sungguh baik hati itu. Pernah beberapa kali dia cuba untuk mengintip pemberinya tetapi gagal kerana setiap kali dia bangun untuk mencari buku dan kembali semula ke meja pasti satu kotak kecil sudah berada di atas mejanya. Kini sudah hampir satu balang puzzle yang dia terima manakala cebisan-cebisan kertas yang mengandungi kata-kata hikmah diselitkan di dalam buku nota.
          Heliza pulang dari perpustakaan dan terus ke biliknya. Dia meletakkan beg dan buku-bukunya di atas meja 'study' dan membuka balang yang berisi puzzle. Lalu dia memasukkan satu lagi kepingan puzzle ke dalam. Sahabat sebiliknya dari tadi memerhatikan gelagat sahabatnya itu. "Dapat puzzle lagi ke,Heliza?" Heliza memandang sahabatnya sambil tersenyum. "Iya Hanis,dapat puzzle lagi."
"Kenapa Heliza tak cuba susun puzzle tu?Manalah tahu ada mesej yang ingin disampaikan..." Ujar Hanis. "Erm...tengok la nanti.Heliza busy la nak main puzzle ni.." Jawab Heliza sambil berlalu ke kamar mandi.
            Setelah tiga tahun setengah Heliza bertungkus-lumus dalam pengajiannya,akhirnya dia mendapat segulung ijazah sarjana mudanya. Maka, sudah tiba masanya diamenyiapkan diri untuk menempuh alam pekerjaan pula. Heliza amat gemar bidang perniagaan dan dia yakin dapat mengubah nasib keluarganya jika dia menceburi bidang tersebut. Kini, Heliza sedang sibuk menjalankan 'business online'nya. Dia memilih untuk mengusahakan perniagaan 'online' dengan seorang sahabatnya. Mereka punya minat yang sama dan sejak dari zaman universiti lagi mereka sudah rapat.
           Lusa genap umur Heliza 23 tahun. Petang tadi dia mendapat panggilan dari ibunya. Ibu menyuruh Heliza pulang kerana ada urusan penting. Heliza juga kebetulan berhasrat ingin pulang ke kampung. Namun urusan penting tersebut dirahsiakan oleh ibunya. Heliza berasa pelik dan tidak tahu mengapa ibunya seperti berkeras mahu dia pulang ke rumah. Maka esok dia akan menaiki bas untuk pulang ke kampung halamannya.
           Setelah berada di kampung,ibu dan ayahnya pun memberitahu urusan penting yang mereka ingin khabarkan itu. Sebenarnya ada satu rombongan yang akan datang meminang Heliza. Heliza pada mulanya agak terkejut dengan berita itu, namun dia akur dengan apa yang bakal berlaku. Persiapan untuk menyambut rombongan itu disiapkan sekadarnya. Pada malam sebelum hari kejadian, Heliza solat istikharah dan berdoa pada Allah SWT memohon petunjuk dan pertolongan dari Nya. Heliza pasrah jika ini yang ditakdirkan untuknya. Dia menerima pinangan tersebut dan majlis akan dilangsungkan 3 bulan lagi.
          Selama menjadi tunangan orang, Heliza tidak pernah berhubung dengan tunangnya melainkan ada perantara iaitu ayahnya. Apa sahaja keputusan Heliza serahkan sahaja kepada ayah dan ibunya kerana dia tahu ayah dan ibunya pasti mengaturkan yang terbaik untuk dia. Maka, setelah 3 bulan,hari yang penuh debaran sudah tiba. Dengan sekali lafaz, Heliza sah bergelar isteri kepada pemuda tersebut. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Majlis yang sederhana namun meriah dengan kehadiran sahabat-sahabat dan sanak saudara. Pada malam tersebut,setelah selesai solat berjemaah, Heliza terpandang akan kotak kecil di atas dulang hantarannya. Lalu dia mencapai dan membuka kotak tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila dalam kotak itu terdapat sekeping puzzle dan cebisan kertas yang tertulis : "Good Women Are for Good Men" -SPWSA
Heliza lantas memandang suaminya dan terlihat akan segaris senyuman terukir di bibir suaminya. Heliza pergi mendapatkan balang berisi puzzle dan menuang kesemua puzzle tersebut di atas lantai. Dia pun duduk bersimpuh sambil menyambung kepingan-kepingan puzzle tersebut. Heliza bertungkus-lumus menyiapkan puzzle itu sambil diperhatikan oleh suaminya. Setelah 2 jam akhirnya kepingan terakhir berjaya melengkapkan puzzle pemberian suaminya itu. Heliza terpegun apabila melihat gambar yang tertera di dalam puzzle itu.
          Heliza tertanya-tanya bagaimana suaminya boleh tertarik dengannya,bagaimana suaminya peroleh segala maklumat tentangnya termasuk nombor telefon bapanya. Yang penting Heliza terharu dengan tindakan suaminya yang sangat menghormati pendiriannya. Puzzle tersebut dikirim oleh suaminya kepadanya melalui perantara yang dirahsiakan identitinya.
       Akhirnya Heliza dan suami bahagia dan setelah berkahwin perniagaan Heliza semakin meningkat maju. Dan puzzle tersebut 'dibingkaikan' dan menjadi perhiasan dinding di rumah mereka. Ia menjadi kenangan yang paling comel buat Heliza.

Gambar Hiasan
         

Thursday, 21 November 2013

Air Mata Lambang Ketabahan

Assalamualaikum sahabat....
      Pernah tak sahabat-sahabat menangis atau kata lainnys menitiskan air mata? Menangis tidak semestinya kerana kesedihan...menangis juga mungkin kerana gembira,terharu,sakit atau terlalu kelakar. Tetapi di sini ana ingin menegaskan bahawa menangis atau mengalirkan air mata itu adalah lambang ketabahan seseorang. Tidak kira apa pun yang berlaku yang telah membuatkan anda mengalirkan air mata, air mata itulah lambang betapa tabahnya seseorang...
     Ana kuatkan lagi penyataan ana mengenai 'Air mata lambang ketabahan' ini dengan contoh iaitu :
...Suatu hari seorang wanita menangis kerana dia telah dicaci oleh seseorang yang begitu jijik melihat penampilan wanita itu. Kotor,selekeh,gemok dan busuk. Wanita itu tidak membalas sepatah pun dari kata-kata ejekan tersebut. Wanita itu hanya mendiamkan diri lalu hanya menangis kerana tidak tahan dengan ejekan. Nah,itu pun sudah jelas bahawa wanita yang diejek itu seorang yang tabah kerana dia sabar menahan ejekan dan cacian terhadap dirinya, langsung dia tidak melawan kata-kata ejekan dan cacian tersebut. Malah wanita yang menangis teresak-esak tadi telah berhenti menangis dan kembali meneruskan rutin hariannya. Dia seolah-olah mendapat semangat baru setelah menangis.
    99.99% ibu yang melahirkan anak akan menangis saat kesakitan dan saat melihat bayi mereka lahir. Hal ini telah membuktikan ketabahan mereka kerana telah menahan sakit dan setelah itu gembira kerana selamat melahirkan anaknya. Air mata mereka seolah-olah jelas mengatakan bahawa si ibu amat kuat dan tabah tanpa memberitahu kepada semua orang "Saya seorang yang tabah!!!"...
   5 daripada 10 orang yang menitiskan air mata tatkala menerima kejutan hari jadi boleh dikatakan tabah kerana setelah terkejut dan terharu mereka dapat menahan diri mereka daripada mengerjakan semula orang-orang yang membuat kejutan terhadapnya. Contohnya,sesetengah orang yang mendapat kejutan hari jadi akan berkejar-kejaran untuk mengenakan satu sama lain dengan mencalitkan krim kek di wajah kawan-kawan yang telah membuat kejutan. Tetapi seseorang yang tabah akan menunjukkan wajah terharu setelah melihat kek hari jadinya lalu dia menitiskan air mata dan tanpa berlengah lagi dia memakan kek tersebut.     
     Air mata juga bisa menitis di saat sahnya lafaz sakinah...kes ini kerap kali berlaku ke atas wanita yang baru sahaja bergelar isteri. Menitisnya air mata mereka kerana ketabahan mereka dalam menerima amanah, memikul tanggungjawab besar dalam membina keluarga sakinah,memastikan kebajikan anak-anak dan suami terjaga. Begitu juga sebaliknya lelaki...Tetapi jarang sekali lelaki menitiskan air mata setelah sah diijab kabul. Tidak mengapa, tangisan lelaki mungkin tidak terpamer pada wajah namun cukup sahaja dialirkan air mata tersebut di dalam hati.
   Selalunya air mata menitis juga apabila seseorang itu terhimpit dengan masalah yang besar dan bertimpa-timpa. Dek kerana terlalu memikirkan masalah, maka makhluk Allah yang bernama manusia pun menangis. Kalau kita fikir balik,kenapa air mata menitis? Boleh ke air mata menitis dengan paksaan? Ana kira,sudah menjadi lumrah insani, air mata akan menitis seiring dengan sentuhan perasaan. Tidak kiralah apa jua perasaan tersebut yang menjadi asbab kepada tertitisnya air mata. Namun pada pandangan ana, setiap air mata yang menitis adalah lambang kepada ketabahan seseorang dan bukanlah lambang kepada kelemahan seseorang yang telah disalah tafsir oleh segelintir akal manusia....
    # Sekadar berkongsi pendapat dan mengisi masa terluang.
    # Yang negatif abaikan, ambil yang positif sahaja.
    # Terima kasih sebab sudi baca.



Wednesday, 23 October 2013

Bajuku mahal!!!
      
Ana Humaira, sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan pakaian longgar dan menutup aurat. Sewaktu berusia 4 tahun ana pernah disuruh untuk memakai gaun paras lutut,maka yang terkeluar dari mulut ana yang masih pelat ketika itu ialah "Tak nak la patai,lampak olat la...malu!!!" Naluri untuk menutup aurat dan malu berpakaian sendat,ketat,singkat dan seangkatan dengannya telah tersemat dalam hati sejak kecil lagi. Ana lebih selesa memakai baju kurung tatkala disuruh memakai baju yang sendat. Walau bagaimana pun,naluri tersebut kian padam setelah ana merentasi zaman remaja. Sewaktu berumur 13 tahun ana selamba ke kedai dengan rambut menggerbang seperti "Hantu Kak Limah Balik Rumah". Kadang kala berbaju lengan pendek dan mengikut badan,keluar menyidai baju di laman rumah dengan tidak berhijab. Tidak tahu mengapa,tarbiyah dalam diri ana kurang barangkali. 
        Ana berterusan begitu sehingga melangkah ke Tingkatan 3. Di Sekolah,ana bersahabat dengan rakan sekelas yang ana kira bersifat sangat lemah lembut,ayu,menjaga tingkah laku dan tutur kata, serta yang  paling penting dia menjaga auratnya. Namun begitu, dia punya sifat tegas yang membuatkan ana kagum. Rakan-rakan lain menggelarkan dia ‘Ustazah’ kerana hanya dia seorang dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 yang bertudung labuh. Sekolah kami bukanlah sekolah Agama atau pun Maahad, jadi sudah menjadi kejanggalan kepada sesiapa yang mengenakan tudung sekolah yang labuh. Maka, dipendekkan cerita,ana mula tertarik dengan pakaian sekolah yang diperagakan oleh sahabat ana itu. Tudung yang labuh ke pinggang,baju kurung sekolah yang bercekak di pergelangan tangan dan kain sekolah yang labuh(kebanyakan pelajar sekolah kainnya atas buku lali je). Lalu,ana pun menyuarakan kepada ibu ana untuk menjahit pakaian sekolah baru. Kebetulan ibu ana seorang tukang jahit terkenal di daerah tempat tinggal ana. J
Alhamdulillah,sejak ana membiasakan memakai tudung labuh ke sekolah,ana rasa selamat dan hati ana rasa tenang. Kemudian,perlahan-lahan ana mempraktikkan pemakaian tudung labuh di luar waktu sekolah. Tudung labuh pertama yang ana beli dan pakai ialah tudung berwarna hitam dan mempunyai garis-garis di tepi. Setelah itu,ibu ana menjahitkan ana tudung bulat juga berwarna hitam. Tidak lama selepas itu, seorang junior ana menghadiahkan ana tudung labuh berwarna pink. Penghijrahan ana bukan hanya kepada tudung sahaja,malah ana besarkan dan labuhkan juga baju yang ana pakai setiap hari. Penghijrahan ana disokong lagi oleh seorang teman, dia menghadiahkan ana tudung bulat yang labuh berwarna hitam dan krim. Ana sangat terharu dengan pemberiannya itu. Ibu Saudara ana juga ada menghadiahkan baju terpakai seperti t-shirt muslimah dan jubah mini kepada ana. Syukur ke hadrat Allah SWT, Dia mempermudah urusan hambanya yang inginkan taufik dan hidayah. Setelah itu,ana juga mendapat gelaran ‘Ustazah’ bukan sahaja di sekolah, malahan dalam kalangan ahli keluarga juga. Hal ini kerana dalam kalangan keluarga, hanya ana yang berpakaian seperti seorang ustazah. Ana tidak peduli apa pun gelaran untuk ana, hanya mengganggap itu sebagai doa. Mudah-mudahan dengan pakaian sopan dan menutup aurat akan terlahir akhlak yang mulia yang akan menjadi contoh kepada orang sekeliling ana.
            
            Apabila sudah melangkah masuk ke Universiti, ana lihat ramai sangat ‘kawan-kawan’ ana. Maksud ana ramai yang mengenakan tudung labuh,baju labuh dan longgar,macam yang slalu ana pakai. Dalam hati ana berbisik ‘budak sekolah agama kot…’ .Mungkin dalam hati orang lain pun berbisik perkara yang sama macam ana fikirkan. Tetapi ternyata perkara itu benar kerana setiap orang yang bertaaruf dengan ana pasti mengeluarkan ayat ini, “Anti dulu sekolah agama mana?” Hehehe… Setelah kenal ramai orang di universiti, minda ana semakin terbuka dan ana mula menambah satu lagi anjakan paradigma pada pemakaian ana iaitu ana memakai sarung kaki atau lebih dikenali sebagai stoking. Sebelum ini ana tidak pernah tahu bahawa kaki juga merupakan aurat yang perlu ditutup oleh setiap wanita muslim. Setelah ana tahu,ana pun memborong stoking setiap kali keluar membeli barang keperluan. Alhamdulillah…ana sangat bersyukur kerana semakin ana ingin berubah, semakin Allah dekatkan ana dengan orang-orang soleh yang berusaha menjaga nama baik Islam. Di Universiti juga terdapat banyak majlis ilmu diadakan sama ada di masjid mahu pun surau. Dan yang paling ana terharu apabila ada pensyarah ana yang mencuri sedikit waktu akhir pengajiannya semata-mata ingin menyampaikan sedikit pesan Rasulullah SAW.
          
           Dalam proses ana menjaga aurat dan akhlak,pernah juga beberapa kali ana diuji. Pada suatu hari ana memakai tudung bawal yang labuh,tetapi ana memakai ‘inner’ supaya tidak kelihatan leher ana. Lalu ada seseorang menegur, “Awak ni tak panas ke pakai tudung 2 lapis?” tanya hamba Allah tersebut. Ana menjawab sambil tersenyum, “Alhamdulillah,tak panas pun,malah lagi selesa.” Kemudian dia berkata lagi, “Pakai dengan stoking bagai,baju besar,tudung besar,’inner’ lagi tak mahal ke?Bankrap la laki kau nanti kena beli baju labuh semua mahal-mahal.” Ana mengambil keputusan untuk diam. Jika ana terus membalas kata-katanya,pasti ana tidak mampu untuk membuat dia faham. Seperti mana kata-kata Imam As-Syafie: “AKU MAMPU BERHUJAH DENGAN 10 ORANG YANG BERILMU, TETAPI AKU AKAN KALAH DAN TEWAS KEPADA SEORANG YANG JAHIL KERANA MEREKA TIDAK MENGETAHUI AKAN LANDASAN-LANDASAN ILMU"…Selain itu juga ana pernah diuji dengan kata-kata seperti “Kau ni harap saja bertudung labuh,tapi perangai pelik-pelik saja.” Ya,mungkin ana sesekali tersilap langkah kerana ana masih dalam proses untuk berubah, ada perkara yang mungkin akan membuatkan orang pandang pelik terhadap ana,tetapi ana juga manusia biasa,bukan Malaikat. Sudah tertulis yang namanya manusia pasti akan berbuat khilaf. Maka, sesiapa yang berasa tidak selesa dengan apa yang ana lakukan seharusnya menegur dengan cara yang baik,bukan memandang serong mahu pun mengherdik.Pernahkah anda terfikir mengapa pakaian yang labuh,besar dan yang mematuhi syariat itu MAHAL? Dan mengapa pakaian yang pendek,kecil serta tidak patuh syariat itu MURAH? Senang sahaja teori ana, “PAKAIAN YANG MEMATUHI SYARIAT ITU MAHAL KERANA SYURGA ITU TERSANGATLAH MAHAL UNTUK MENDAPAT TEMPAT DI DALAMNYA, MANAKALA PAKAIAN YANG TIDAK MEMATUHI SYARIAT ITU MURAH KERANA NERAKA ITU MURAH DAN MUDAH UNTUK DIMASUKI CUKUP DENGAN HANYA MENAMPAKKAN SEURAT RAMBUT.”


“…Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti…”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur : ayat 31)



Monday, 21 October 2013

Impian Keluarga Sakinah

         Di suatu sudut terlihat anak kecil yang sedang asyik bernyanyi sambil melakarkan sesuatu di atas sekeping kertas lukisan menggunakan warna pensilnya. "Satu satu saya sayang Ummi,dua dua saya sayang Abi.....lalala..." Tersenyum si Ummi melihat keletah anak perempuannya yang baru berusia 3 tahun itu.
      "Assalamualaikum..." suara Abi bergema memberi salam. Si kecil Humaira lalu berlari mendapatkan Abinya. "Waalaikumsalam..." Si Ummi menyambut salam tersebut. Beberapa saat sahaja Humaira sudah pun berada dalam dakapan Abinya,sedang memeluk dan mencium Abinya,sehingga membuatkan Umminya cemburu. Si Abi terlihat akan kertas yang berada di tangan Humaira, "Humaira lukis apa ni?Cantiknya..." terserlah bakat seni yang diwarisi daripada Umminya apabila terlihat akan lukisan yang mengagumkan bagi kanak-kanak yang brusia 3 tahun. Sungguh terharu Si Abi melihat lukisan yang dihasilkan oleh anak perempuannya itu, seorang lelaki memegang tangan seorang perempuan bertudung labuh sambil perempuan itu mendukung seorang kanak-kanak perempuan bertudung,berlatar belakangkan sebuah masjid. "Ini Abi,Ini Ummi,Ini Humaira...syemua nak gi masyjid...syolat...yeiiii !!!" Ummi tersenyum mendengarkan bicara Humaira yang masih pelat itu. Namun dalam hati si Ummi terselit sebuah kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan kerana impian 'Keluarga Sakinah'nya sudah tercapai.
         Gambaran masa silamnya kembali menerpa. Si Ummi dahulunya berada di dalam sebuah keluarga yang tidak menitik beratkan soal kewajipan agama,syariat diabaikan,hanya berdiri di atas nama Islam namun tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Mengabaikan Solat 5 waktu,tadarus al-Quran,puasa dan amalan-amalan lain. Si Ummi sering berada dalam kesedihan dan dilema apabila melihat seluruh ahli keluarganya terus hanyut. Hanyut dalam erti kata meremehkan amalan wajib dan mengabaikan amalan sunnah. Namun Si Ummi bertekad untuk mengubah nasib keluarganya. Setiap hari dia berdoa agar keluarganya mendapat taufik dan hidayah dari Yang Maha Esa. Dia juga berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang soleh yang mampu membimbing dia dan seluruh ahli keluarganya ke arah mensyariatkan Islam yang sebenar. Pernah juga sesekali semangat Si Ummi jatuh,hampir setiap malam dia berdoa,menangisi nasib keluarganya. Dia benar-benar inginkan suatu perubahan dalam keluarganya. Dia mahukan ayah,abang mahupun adiknya mengimamkan setiap solat jemaah dalam keluarga,bertadarus bersama,saling mengingati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W... Walau bagaimana pun,Si Ummi tetap patuh dan taat akan ibu dan ayahnya kerana merekalah yang banyak berbakti kepada Si Ummi,membesarkan Si Ummi hingga berjaya menyambung pengajian ke Universiti terkemuka di Malaysia.
Antara bait doa yang pernah dilafazkan Si Ummi sehingga berjujuran air matanya,  "Allah Ya Rahman Ya Rahim,ampunkan aku dan kedua ibu bapaku,serta seluruh ahli keluargaku...Kau rahmati dan kasihanilah ibu dan bapaku seperti mana mereka mengasihiku sejak aku kecil Ya Allah...kami hamba yang hina Ya Allah...kau campakkanlah keimanan dalam hati kami Ya Allah,berikanlah taufik dan hidayahMu,tuntunlah kami menggapai redhaMu Ya Allah...Jika kau takdirkan aku ke SyurgaMu,maka jangan kau biarkan aku bersendirian di sana tanpa Ibu dan Bapaku...Jika kau takdirkan pula aku ke NerakaMu,maka jangan kau biarkan ibu dan bapaku ikut serta Ya Allah...namun bukan itu yang kuharapkan dariMu Ya Rahman...yang ku harapkankan hanyalah secebis kasih sayang dariMu serta redhaMu terhadap kedua ibu bapaku...Amin..."  
       "Sayang...sayang...kenapa ni?" Si Abi gelisah melihat air mata Si Ummi tiba-tiba berjujuran jatuh membasahi pipinya. Si Abi lalu menyapu air mata itu dan mendakap Si Ummi erat. "Kenapa ni,tak ada angin,tak ada ribut ni,tiba-tiba menangis?" tanya Si Abi lagi. "Sayang cuma teringatkan Ayah dan Ibu."
"Sudahlah...jangan dikenang lagi masa silam itu,seharusnya Sayang gembira melihat Ayah dan Ibu sudah mendapat hidayah Allah...maka,teruskanlah berdoa agar Allah tidak mengambil semula hidayah yang diberikan kepada mereka,malah terus berdoa agar bertambah iman mereka dan semoga keluarga kita juga berada dalam naungan kasih sayangNya..." Akhir kata Si Abi bersambut dengan perkataan "Amin..." oleh Si Ummi. "Jom,dah nak masuk waktu Maghrib ni..." Si Abi memimpin tangan Si Ummi masuk ke dalam rumah.
     Si Ummi berasa sungguh bersyukur kerana Allah akhirnya mendengarkan setiap doanya...kini Si Ummi merasakan bahawa dia adalah wanita yang paling bahagia di dunia kerana memiliki keluarga yang "Patuh Syariat dan Mengamalkan Sunnah" ..... Alhamdulillah... Si Abi adalah insan yang paling banyak membantu dalam proses membina keluarga sakinah impian si Ummi...setiap minggu mereka akan melapangkan masa untuk bersama keluarga menghadiri majlis ilmu,paling tidak si Abi sendiri akan mengadakan majlis ilmu untuk keluarga kedua belah pihak. Rumah keluarga mereka juga semakin berseri dengan adanya Tadarus Al-Quran setiap hari...yang paling penting solat jemaah tidak pernah ditinggalkan! :-)

                                                                   Gambar Hiasan











Sunday, 20 October 2013

Syukur Itu Nikmat

Syukur itu nikmat bagi mereka yang tahu menilai setiap takdir Allah SWT....setiap manusia wajib merasakan syukur atas segala yang mereka ada, miliki, peroleh ...tetapi patutkah bersyukur tanpa perlu berusaha terlebih dahulu? Orang selalu kata, "Usaha dahulu,kemudian berdoa...akhirnya bertawakallah..." dan paling penting jangan lupa bersyukur... pahit dan manis yang kita lalui setiap masa perlu diiringi dengan syukur kerana kita tidak tahu apakah perancangan yang Maha Esa untuk kita... contohnya, "Ana nak sambung belajar,tak nak kerja lagi.." Tetapi suatu hari kamu dapat berita "Dukacita dimaklumkan bahawa saudara/ri tidak berjaya untuk melanjutkan pelajaran di........." bagi mereka yang punya iman pasti dapat menerima takdir tersebut dengan ikhlas dan redha...maka mengambil keputusan untuk meneruskan kehidupan...mungkin 'bekerja' ...untuk membayar balik pinjaman PTPTN... :-P tetapi apa pula tindakan mereka yang tidak hadam akan maksud firman Allah ini? "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)

          Kadang kala kita terpaksa melepaskan sesuatu untuk sesuatu yang lebih baik di sisi Allah...Contohnya terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayah,anak dan isteri kerana ingin mencari nafkah,menyambung pelajaran atau mungkin berdakwah. Segalanya memerlukan pengorbanan dan usaha untuk memperoleh keredhaan di sisi Allah SWT. Maka perlulah kita bersyukur setelah memperoleh segala yang diusahakan itu. Orang kaya tidak lupa pada yang miskin,yang senang tidak lupa akan hari susahnya dahulu,yang bahagia tidak lupa akan kepahitan yang pernah dialami,pemimpin tidak lupa akan rakyatnya...hal demikian perlu diambil kira supaya setiap orang tidak lupa akan satu sama lain,tidak akan mengulangi kesilapan terdahulu...lalu bersyukurlah...

        Ketika bangkit dari tidur,wajib bersyukur kerana Allah masih memberikan kesempatan untuk kita melakukan amal kebaikan bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu. Bersyukurlah juga di saat bangkit dari tidur kerana Allah masih membuka pintu taubat untuk kita...jika tidak bertaubat hari ini,jadi bila lagi???
Dengan ini ana titipkan sebuah madah yang ana peroleh dari sahabat dan teman yang dicintai :-

Alhamdulillah


Alhamdulillah syukur
InshaAllah.
Rezeki ada di mana-mana. 

Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik. 
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.

Jika tiada rezeki wang ringgit, 
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.

Jika tiada rezeki kereta mewah, 
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.

Jika tiada rezeki rumah yang besar, 
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.

Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.

Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.

Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. 
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.

Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa. Bertawakal. 
Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil...v(^,^)v


Friday, 29 March 2013

Kisah Tentang Sahabat



Kisah Tentang Sahabat

                 Ada 3 sahabat yang punya karakter yang berbeza tetapi ukhuwah mereka sangat rapat dan begitu indah bak ombak dan pantai yang tak dapat dipisahkan walaupun tsunami melanda. Mereka ialah Balqis,Hanina dan Qalisya.Bermula dengan Balqis,dia adalah seorang yang tegas,tabah,berpewatakan selamba,tetap pendirian,happy go lucky dan sangat pandai menyimpan rahsia.Dia juga adalah seorang sahabat yang baik iaitu dia sangat mementingkan sahabatnya berbanding dirinya sendiri,punya prinsip hidup yang mantap dan tak layan kucing sangat walaupun dia tak geli dengan kucing(erk,tak ada kena mengena pun!!!). Seterusnya ialah Hanina iaitu seorang yang penyayang,pemurah,mudah kesian pada orang,sensitif,tak tetap pendirian,kadang-kadang rock bebeh,’rempang’ tapi takut kucing. Akhir sekali ialah Qalisya, seorang yang jiwang,sensitif,penyayang,romantik,pendengar yang setia,tak tegas,selalu tak yakin,kuat cemburu,suka buat lawak walaupun tiada orang yang gelak,tak tetap pendirian dan susah nak buat keputusan sendiri,jiwa kacau tapi sangat sukakan kucing sampaikan kalau dia tengah bosan,dia akan bersembang dengan kucing(erk,lebih-lebih pula). Jika dibandingkan sifat ketiga-tiga sahabat ini,jelas sekali mereka sangat berbeza dan mungkin sukar untuk berkomunikasi tetapi setelah mereka saling mengenali,mereka mampu untuk melengkapi antara satu sama lain. Namun begitu, terdapat satu persamaan antara mereka yang membuatkan ukhuwah mereka kuat iaitu semangat juang yang tinggi dalam menegakkan dan mempertahankan Islam. Mereka juga datang dari latar belakang keluarga yang berbeza walaupun mereka bertiga adalah seperti satu keluarga. Balqis berasal dari keluarga yang punya fikrah islamiah yang mana ibu bapanya sering menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarganya dan tiada masalah langsung dalam berkomunikasi soal agama Islam manakala Hanina juga dari keluarga yang berfikrah islamiah dan sama seperti Balqis yang tiada masalah langsung untuk membicarakan soal agama Islam tetapi masalah adalah dari Hanina sendiri yang pada awal zaman remajanya telah hanyut dan terlalu mengikut arus budaya remaja yang sifatnya inginkan sesuatu yang baru. Namun begitu Hanina akhirnya memperoleh hidayah dari Yang Maha Kuasa dan sekarang sudah mampu manambat hati keluarganya dengan perubahan positifnya itu.Alhamdulillah… Tetapi berbeza sekali dengan Qalisya yang datang dari keluarga yang tidak terlalu menitik beratkan soal agama dan syariat Islam. Dia tidak terlalu bebas untuk berbicara soal agama Islam dengan keluarganya, namun nilai-nilai agama yang dia bawa dalam keluarganya hari ini adalah semata-mata untuk merubah nasib keluarganya dan yang paling penting untuk meraih redha dariNya. Cabaran hebat buat Qalisya untuk merubah keluarganya. Tetapi dengan semangat yang ada, dan doa yang tidak putus-putus, dia yakin suatu hari nanti impian keluarga sakinahnya pasti tercapai.InsyaAllah….dan Alhamdulillah,sejak akhir-akhir ini Qalisya sudah nampak perubahan pada ibunya.

            Balqis,Hanina dan Qalisya juga punya perbezaan yang ketara iaitu mereka bercakap dengan loghat yang berlainan.hehehe…seorang utara,seorang selatan,seorang lagi pantai timur. Gabungan yang menarik bukan?

         Apa pula kisah cinta mereka ya? Kata mereka,biarlah rahsia. Masing-masing berpegang dengan prinsip “No Couple before Nikah”. Balqis dan Hanina punya ramai peminat dan mereka menganggap bahawa itu semua adalah ujian dari Allah SWT yang mungkin ingin melihat sejauh mana mereka berpegang pada prinsip tersebut. Qalisya pula bagaimana? Dia tak ramai peminat pun sebab dia tak ada tarikan langsung dan dia seorang yang biasa-biasa sahaja.
            
                 Pernah suatu masa Qalisya kehabisan wang untuk belanja seharian, hal tersebut disedari oleh sahabat yang sangat perihatin iaitu Hanina kerana pada kebiasaannya Qalisya akan ikut serta Hanina dan Balqis untuk makan malam bersama. Tetapi Qalisya pada hari tersebut menyatakan bahawa dia sudah kenyang. Hanina yang sangat arif dengan masalah Qalisya terus mengorbankan sedikit wangnya untuk membeli makanan buat Qalisya. Alangkah hebat Allah SWT yang Maha Pemurah itu. Hanina juga pernah beberapa kali menghulurkan bantuan kepada Qalisya sehingga Qalisya menjadi malu dengan sahabatnya itu. Qalisya sebolehnya tidak mahu mengharapkan yang lain selain Allah SWT. Namun dia sedar bantuan dari Hanina itulah yang merupakan bantuan dari Yang Maha Esa. Balqis pula terserlah sifatnya yang tegas dan tabah,dia tidak pernah sekali pun menitiskan air mata di hadapan sahabatnya. Dia sedaya upaya untuk menjadi penguat kepada 2 sahabatnya. Balqislah penenang dan pendamai di saat Hanina dan Qalisya kesedihan mahupun punya masalah. Balqis juga sangat menjaga rahsianya dan rahsia antara sahabatnya kerana dia tahu peranannya sebagai pemegang amanah yang baik. Kadang kala Qalisya terlihat Balqis sangat khusyuk dalam tahajjudnya dan lama dia berteleku di atas hamparan sejadah. “Kita bangun tahajjud bukan sebab iman kita kuat tetapi kita bangun tahajjud sebab kita nak mohon kekuatan iman kita pada Allah SWT”…. Mungkin berkat tahajjudlah Balqis mampu menjadi seorang yang kuat dan tabah kerana pergantungan sepenuhnya dia kepada Maha Pencipta. Qalisya pula tidak banyak peranannya di antara sahabat tetapi yang dia tahu hanyalah untuk menceriakan sahabatnya setiap kali mereka berusrah dan berhalaqah bersama. Qalisya tidak setabah Balqis juga tidak pula pemurah dan perihatin seperti Hanina, namun dia tidak pernah lupa untuk menyalurkan dan mempamerkan rasa kasih dan sayangnya terhadap 2 sahabatnya itu. Bagi Qalisya, Balqis dan Hanina adalah keluarganya, seolah-olah mereka kakak dan adik perempuannya kerana Qalisya merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga.

              Dalam waktu 3 tahun perkenalan mereka merupakan satu jangka masa yang singkat namun mereka tidak terlepas dari konflik dan cabaran dalam persahabatan yang datang menguji mereka bertiga. Konflik dan masalah tersebut seperti rencah yang melengkapi setiap rasa dalam masakan. Masakan tidak akan enak sekiranya hanya punya rasa manis sahaja. Pasti kita menginginkan masakan yang sedap dan punya rasa masam,manis,pedas dan sebagainya. Maka begitulah kisah sahabat ini. Walaubagaimana pun, mereka akhirnya menganggap konflik yang terjadi antara mereka adalah ujian dari Allah SWT dan melupakan sagala rasa tidak puas hati dan dendam tersebut dengan menggantikannya dengan 3 rukun ukhuwah yang mereka pegang iaitu bersangka baik,melebihkan sahabat dan berlapang dada. Konflik dan masalah tersebut akhirnya lenyap bersama air yang mengalir,angin yang bertiup dan dedaun yang berguguran.

                  Beberapa hari lagi sahabat ini akan menamatkan zaman diploma mereka setelah 3 tahun mereka bersama-sama dalam menggalas beban ilmu,dakwah dan suka duka persahabatan. Tidak terpamer di wajah akan kesedihan yang bakal ditanggung untuk berpisah dan tidak tergambar bagaimana saat meleraikan pelukan dan ciuman terakhir untuk pulang ke tempat asal masing-masing nanti. Sahabat ini terpaksa akur dengan hakikat pertemuan yang di akhirnya pasti ada perpisahan. Namun begitu, perpisahan yang bakal berlaku bukanlah penamat kepada hubungan persahabatan mereka atau bukanlah bermakna akan putus ikatan tali yang mereka telah simpulkan selama ini. Dengan berbekalkan keyakinan pada Allah SWT, mereka pasti bertemu semula untuk sama-sama menyambung rantai perjuangan Islam. InsyaAllah… Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim : 
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
 Maksudnya : "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri".