Wednesday, 23 October 2013

Bajuku mahal!!!
      
Ana Humaira, sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan pakaian longgar dan menutup aurat. Sewaktu berusia 4 tahun ana pernah disuruh untuk memakai gaun paras lutut,maka yang terkeluar dari mulut ana yang masih pelat ketika itu ialah "Tak nak la patai,lampak olat la...malu!!!" Naluri untuk menutup aurat dan malu berpakaian sendat,ketat,singkat dan seangkatan dengannya telah tersemat dalam hati sejak kecil lagi. Ana lebih selesa memakai baju kurung tatkala disuruh memakai baju yang sendat. Walau bagaimana pun,naluri tersebut kian padam setelah ana merentasi zaman remaja. Sewaktu berumur 13 tahun ana selamba ke kedai dengan rambut menggerbang seperti "Hantu Kak Limah Balik Rumah". Kadang kala berbaju lengan pendek dan mengikut badan,keluar menyidai baju di laman rumah dengan tidak berhijab. Tidak tahu mengapa,tarbiyah dalam diri ana kurang barangkali. 
        Ana berterusan begitu sehingga melangkah ke Tingkatan 3. Di Sekolah,ana bersahabat dengan rakan sekelas yang ana kira bersifat sangat lemah lembut,ayu,menjaga tingkah laku dan tutur kata, serta yang  paling penting dia menjaga auratnya. Namun begitu, dia punya sifat tegas yang membuatkan ana kagum. Rakan-rakan lain menggelarkan dia ‘Ustazah’ kerana hanya dia seorang dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 yang bertudung labuh. Sekolah kami bukanlah sekolah Agama atau pun Maahad, jadi sudah menjadi kejanggalan kepada sesiapa yang mengenakan tudung sekolah yang labuh. Maka, dipendekkan cerita,ana mula tertarik dengan pakaian sekolah yang diperagakan oleh sahabat ana itu. Tudung yang labuh ke pinggang,baju kurung sekolah yang bercekak di pergelangan tangan dan kain sekolah yang labuh(kebanyakan pelajar sekolah kainnya atas buku lali je). Lalu,ana pun menyuarakan kepada ibu ana untuk menjahit pakaian sekolah baru. Kebetulan ibu ana seorang tukang jahit terkenal di daerah tempat tinggal ana. J
Alhamdulillah,sejak ana membiasakan memakai tudung labuh ke sekolah,ana rasa selamat dan hati ana rasa tenang. Kemudian,perlahan-lahan ana mempraktikkan pemakaian tudung labuh di luar waktu sekolah. Tudung labuh pertama yang ana beli dan pakai ialah tudung berwarna hitam dan mempunyai garis-garis di tepi. Setelah itu,ibu ana menjahitkan ana tudung bulat juga berwarna hitam. Tidak lama selepas itu, seorang junior ana menghadiahkan ana tudung labuh berwarna pink. Penghijrahan ana bukan hanya kepada tudung sahaja,malah ana besarkan dan labuhkan juga baju yang ana pakai setiap hari. Penghijrahan ana disokong lagi oleh seorang teman, dia menghadiahkan ana tudung bulat yang labuh berwarna hitam dan krim. Ana sangat terharu dengan pemberiannya itu. Ibu Saudara ana juga ada menghadiahkan baju terpakai seperti t-shirt muslimah dan jubah mini kepada ana. Syukur ke hadrat Allah SWT, Dia mempermudah urusan hambanya yang inginkan taufik dan hidayah. Setelah itu,ana juga mendapat gelaran ‘Ustazah’ bukan sahaja di sekolah, malahan dalam kalangan ahli keluarga juga. Hal ini kerana dalam kalangan keluarga, hanya ana yang berpakaian seperti seorang ustazah. Ana tidak peduli apa pun gelaran untuk ana, hanya mengganggap itu sebagai doa. Mudah-mudahan dengan pakaian sopan dan menutup aurat akan terlahir akhlak yang mulia yang akan menjadi contoh kepada orang sekeliling ana.
            
            Apabila sudah melangkah masuk ke Universiti, ana lihat ramai sangat ‘kawan-kawan’ ana. Maksud ana ramai yang mengenakan tudung labuh,baju labuh dan longgar,macam yang slalu ana pakai. Dalam hati ana berbisik ‘budak sekolah agama kot…’ .Mungkin dalam hati orang lain pun berbisik perkara yang sama macam ana fikirkan. Tetapi ternyata perkara itu benar kerana setiap orang yang bertaaruf dengan ana pasti mengeluarkan ayat ini, “Anti dulu sekolah agama mana?” Hehehe… Setelah kenal ramai orang di universiti, minda ana semakin terbuka dan ana mula menambah satu lagi anjakan paradigma pada pemakaian ana iaitu ana memakai sarung kaki atau lebih dikenali sebagai stoking. Sebelum ini ana tidak pernah tahu bahawa kaki juga merupakan aurat yang perlu ditutup oleh setiap wanita muslim. Setelah ana tahu,ana pun memborong stoking setiap kali keluar membeli barang keperluan. Alhamdulillah…ana sangat bersyukur kerana semakin ana ingin berubah, semakin Allah dekatkan ana dengan orang-orang soleh yang berusaha menjaga nama baik Islam. Di Universiti juga terdapat banyak majlis ilmu diadakan sama ada di masjid mahu pun surau. Dan yang paling ana terharu apabila ada pensyarah ana yang mencuri sedikit waktu akhir pengajiannya semata-mata ingin menyampaikan sedikit pesan Rasulullah SAW.
          
           Dalam proses ana menjaga aurat dan akhlak,pernah juga beberapa kali ana diuji. Pada suatu hari ana memakai tudung bawal yang labuh,tetapi ana memakai ‘inner’ supaya tidak kelihatan leher ana. Lalu ada seseorang menegur, “Awak ni tak panas ke pakai tudung 2 lapis?” tanya hamba Allah tersebut. Ana menjawab sambil tersenyum, “Alhamdulillah,tak panas pun,malah lagi selesa.” Kemudian dia berkata lagi, “Pakai dengan stoking bagai,baju besar,tudung besar,’inner’ lagi tak mahal ke?Bankrap la laki kau nanti kena beli baju labuh semua mahal-mahal.” Ana mengambil keputusan untuk diam. Jika ana terus membalas kata-katanya,pasti ana tidak mampu untuk membuat dia faham. Seperti mana kata-kata Imam As-Syafie: “AKU MAMPU BERHUJAH DENGAN 10 ORANG YANG BERILMU, TETAPI AKU AKAN KALAH DAN TEWAS KEPADA SEORANG YANG JAHIL KERANA MEREKA TIDAK MENGETAHUI AKAN LANDASAN-LANDASAN ILMU"…Selain itu juga ana pernah diuji dengan kata-kata seperti “Kau ni harap saja bertudung labuh,tapi perangai pelik-pelik saja.” Ya,mungkin ana sesekali tersilap langkah kerana ana masih dalam proses untuk berubah, ada perkara yang mungkin akan membuatkan orang pandang pelik terhadap ana,tetapi ana juga manusia biasa,bukan Malaikat. Sudah tertulis yang namanya manusia pasti akan berbuat khilaf. Maka, sesiapa yang berasa tidak selesa dengan apa yang ana lakukan seharusnya menegur dengan cara yang baik,bukan memandang serong mahu pun mengherdik.Pernahkah anda terfikir mengapa pakaian yang labuh,besar dan yang mematuhi syariat itu MAHAL? Dan mengapa pakaian yang pendek,kecil serta tidak patuh syariat itu MURAH? Senang sahaja teori ana, “PAKAIAN YANG MEMATUHI SYARIAT ITU MAHAL KERANA SYURGA ITU TERSANGATLAH MAHAL UNTUK MENDAPAT TEMPAT DI DALAMNYA, MANAKALA PAKAIAN YANG TIDAK MEMATUHI SYARIAT ITU MURAH KERANA NERAKA ITU MURAH DAN MUDAH UNTUK DIMASUKI CUKUP DENGAN HANYA MENAMPAKKAN SEURAT RAMBUT.”


“…Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti…”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur : ayat 31)



Monday, 21 October 2013

Impian Keluarga Sakinah

         Di suatu sudut terlihat anak kecil yang sedang asyik bernyanyi sambil melakarkan sesuatu di atas sekeping kertas lukisan menggunakan warna pensilnya. "Satu satu saya sayang Ummi,dua dua saya sayang Abi.....lalala..." Tersenyum si Ummi melihat keletah anak perempuannya yang baru berusia 3 tahun itu.
      "Assalamualaikum..." suara Abi bergema memberi salam. Si kecil Humaira lalu berlari mendapatkan Abinya. "Waalaikumsalam..." Si Ummi menyambut salam tersebut. Beberapa saat sahaja Humaira sudah pun berada dalam dakapan Abinya,sedang memeluk dan mencium Abinya,sehingga membuatkan Umminya cemburu. Si Abi terlihat akan kertas yang berada di tangan Humaira, "Humaira lukis apa ni?Cantiknya..." terserlah bakat seni yang diwarisi daripada Umminya apabila terlihat akan lukisan yang mengagumkan bagi kanak-kanak yang brusia 3 tahun. Sungguh terharu Si Abi melihat lukisan yang dihasilkan oleh anak perempuannya itu, seorang lelaki memegang tangan seorang perempuan bertudung labuh sambil perempuan itu mendukung seorang kanak-kanak perempuan bertudung,berlatar belakangkan sebuah masjid. "Ini Abi,Ini Ummi,Ini Humaira...syemua nak gi masyjid...syolat...yeiiii !!!" Ummi tersenyum mendengarkan bicara Humaira yang masih pelat itu. Namun dalam hati si Ummi terselit sebuah kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan kerana impian 'Keluarga Sakinah'nya sudah tercapai.
         Gambaran masa silamnya kembali menerpa. Si Ummi dahulunya berada di dalam sebuah keluarga yang tidak menitik beratkan soal kewajipan agama,syariat diabaikan,hanya berdiri di atas nama Islam namun tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Mengabaikan Solat 5 waktu,tadarus al-Quran,puasa dan amalan-amalan lain. Si Ummi sering berada dalam kesedihan dan dilema apabila melihat seluruh ahli keluarganya terus hanyut. Hanyut dalam erti kata meremehkan amalan wajib dan mengabaikan amalan sunnah. Namun Si Ummi bertekad untuk mengubah nasib keluarganya. Setiap hari dia berdoa agar keluarganya mendapat taufik dan hidayah dari Yang Maha Esa. Dia juga berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang soleh yang mampu membimbing dia dan seluruh ahli keluarganya ke arah mensyariatkan Islam yang sebenar. Pernah juga sesekali semangat Si Ummi jatuh,hampir setiap malam dia berdoa,menangisi nasib keluarganya. Dia benar-benar inginkan suatu perubahan dalam keluarganya. Dia mahukan ayah,abang mahupun adiknya mengimamkan setiap solat jemaah dalam keluarga,bertadarus bersama,saling mengingati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W... Walau bagaimana pun,Si Ummi tetap patuh dan taat akan ibu dan ayahnya kerana merekalah yang banyak berbakti kepada Si Ummi,membesarkan Si Ummi hingga berjaya menyambung pengajian ke Universiti terkemuka di Malaysia.
Antara bait doa yang pernah dilafazkan Si Ummi sehingga berjujuran air matanya,  "Allah Ya Rahman Ya Rahim,ampunkan aku dan kedua ibu bapaku,serta seluruh ahli keluargaku...Kau rahmati dan kasihanilah ibu dan bapaku seperti mana mereka mengasihiku sejak aku kecil Ya Allah...kami hamba yang hina Ya Allah...kau campakkanlah keimanan dalam hati kami Ya Allah,berikanlah taufik dan hidayahMu,tuntunlah kami menggapai redhaMu Ya Allah...Jika kau takdirkan aku ke SyurgaMu,maka jangan kau biarkan aku bersendirian di sana tanpa Ibu dan Bapaku...Jika kau takdirkan pula aku ke NerakaMu,maka jangan kau biarkan ibu dan bapaku ikut serta Ya Allah...namun bukan itu yang kuharapkan dariMu Ya Rahman...yang ku harapkankan hanyalah secebis kasih sayang dariMu serta redhaMu terhadap kedua ibu bapaku...Amin..."  
       "Sayang...sayang...kenapa ni?" Si Abi gelisah melihat air mata Si Ummi tiba-tiba berjujuran jatuh membasahi pipinya. Si Abi lalu menyapu air mata itu dan mendakap Si Ummi erat. "Kenapa ni,tak ada angin,tak ada ribut ni,tiba-tiba menangis?" tanya Si Abi lagi. "Sayang cuma teringatkan Ayah dan Ibu."
"Sudahlah...jangan dikenang lagi masa silam itu,seharusnya Sayang gembira melihat Ayah dan Ibu sudah mendapat hidayah Allah...maka,teruskanlah berdoa agar Allah tidak mengambil semula hidayah yang diberikan kepada mereka,malah terus berdoa agar bertambah iman mereka dan semoga keluarga kita juga berada dalam naungan kasih sayangNya..." Akhir kata Si Abi bersambut dengan perkataan "Amin..." oleh Si Ummi. "Jom,dah nak masuk waktu Maghrib ni..." Si Abi memimpin tangan Si Ummi masuk ke dalam rumah.
     Si Ummi berasa sungguh bersyukur kerana Allah akhirnya mendengarkan setiap doanya...kini Si Ummi merasakan bahawa dia adalah wanita yang paling bahagia di dunia kerana memiliki keluarga yang "Patuh Syariat dan Mengamalkan Sunnah" ..... Alhamdulillah... Si Abi adalah insan yang paling banyak membantu dalam proses membina keluarga sakinah impian si Ummi...setiap minggu mereka akan melapangkan masa untuk bersama keluarga menghadiri majlis ilmu,paling tidak si Abi sendiri akan mengadakan majlis ilmu untuk keluarga kedua belah pihak. Rumah keluarga mereka juga semakin berseri dengan adanya Tadarus Al-Quran setiap hari...yang paling penting solat jemaah tidak pernah ditinggalkan! :-)

                                                                   Gambar Hiasan











Sunday, 20 October 2013

Syukur Itu Nikmat

Syukur itu nikmat bagi mereka yang tahu menilai setiap takdir Allah SWT....setiap manusia wajib merasakan syukur atas segala yang mereka ada, miliki, peroleh ...tetapi patutkah bersyukur tanpa perlu berusaha terlebih dahulu? Orang selalu kata, "Usaha dahulu,kemudian berdoa...akhirnya bertawakallah..." dan paling penting jangan lupa bersyukur... pahit dan manis yang kita lalui setiap masa perlu diiringi dengan syukur kerana kita tidak tahu apakah perancangan yang Maha Esa untuk kita... contohnya, "Ana nak sambung belajar,tak nak kerja lagi.." Tetapi suatu hari kamu dapat berita "Dukacita dimaklumkan bahawa saudara/ri tidak berjaya untuk melanjutkan pelajaran di........." bagi mereka yang punya iman pasti dapat menerima takdir tersebut dengan ikhlas dan redha...maka mengambil keputusan untuk meneruskan kehidupan...mungkin 'bekerja' ...untuk membayar balik pinjaman PTPTN... :-P tetapi apa pula tindakan mereka yang tidak hadam akan maksud firman Allah ini? "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah : 216)

          Kadang kala kita terpaksa melepaskan sesuatu untuk sesuatu yang lebih baik di sisi Allah...Contohnya terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayah,anak dan isteri kerana ingin mencari nafkah,menyambung pelajaran atau mungkin berdakwah. Segalanya memerlukan pengorbanan dan usaha untuk memperoleh keredhaan di sisi Allah SWT. Maka perlulah kita bersyukur setelah memperoleh segala yang diusahakan itu. Orang kaya tidak lupa pada yang miskin,yang senang tidak lupa akan hari susahnya dahulu,yang bahagia tidak lupa akan kepahitan yang pernah dialami,pemimpin tidak lupa akan rakyatnya...hal demikian perlu diambil kira supaya setiap orang tidak lupa akan satu sama lain,tidak akan mengulangi kesilapan terdahulu...lalu bersyukurlah...

        Ketika bangkit dari tidur,wajib bersyukur kerana Allah masih memberikan kesempatan untuk kita melakukan amal kebaikan bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu. Bersyukurlah juga di saat bangkit dari tidur kerana Allah masih membuka pintu taubat untuk kita...jika tidak bertaubat hari ini,jadi bila lagi???
Dengan ini ana titipkan sebuah madah yang ana peroleh dari sahabat dan teman yang dicintai :-

Alhamdulillah


Alhamdulillah syukur
InshaAllah.
Rezeki ada di mana-mana. 

Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik. 
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.

Jika tiada rezeki wang ringgit, 
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.

Jika tiada rezeki kereta mewah, 
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.

Jika tiada rezeki rumah yang besar, 
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.

Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.

Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.

Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. 
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.

Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa. Bertawakal. 
Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil...v(^,^)v