Wednesday, 23 October 2013

Bajuku mahal!!!
      
Ana Humaira, sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan pakaian longgar dan menutup aurat. Sewaktu berusia 4 tahun ana pernah disuruh untuk memakai gaun paras lutut,maka yang terkeluar dari mulut ana yang masih pelat ketika itu ialah "Tak nak la patai,lampak olat la...malu!!!" Naluri untuk menutup aurat dan malu berpakaian sendat,ketat,singkat dan seangkatan dengannya telah tersemat dalam hati sejak kecil lagi. Ana lebih selesa memakai baju kurung tatkala disuruh memakai baju yang sendat. Walau bagaimana pun,naluri tersebut kian padam setelah ana merentasi zaman remaja. Sewaktu berumur 13 tahun ana selamba ke kedai dengan rambut menggerbang seperti "Hantu Kak Limah Balik Rumah". Kadang kala berbaju lengan pendek dan mengikut badan,keluar menyidai baju di laman rumah dengan tidak berhijab. Tidak tahu mengapa,tarbiyah dalam diri ana kurang barangkali. 
        Ana berterusan begitu sehingga melangkah ke Tingkatan 3. Di Sekolah,ana bersahabat dengan rakan sekelas yang ana kira bersifat sangat lemah lembut,ayu,menjaga tingkah laku dan tutur kata, serta yang  paling penting dia menjaga auratnya. Namun begitu, dia punya sifat tegas yang membuatkan ana kagum. Rakan-rakan lain menggelarkan dia ‘Ustazah’ kerana hanya dia seorang dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 yang bertudung labuh. Sekolah kami bukanlah sekolah Agama atau pun Maahad, jadi sudah menjadi kejanggalan kepada sesiapa yang mengenakan tudung sekolah yang labuh. Maka, dipendekkan cerita,ana mula tertarik dengan pakaian sekolah yang diperagakan oleh sahabat ana itu. Tudung yang labuh ke pinggang,baju kurung sekolah yang bercekak di pergelangan tangan dan kain sekolah yang labuh(kebanyakan pelajar sekolah kainnya atas buku lali je). Lalu,ana pun menyuarakan kepada ibu ana untuk menjahit pakaian sekolah baru. Kebetulan ibu ana seorang tukang jahit terkenal di daerah tempat tinggal ana. J
Alhamdulillah,sejak ana membiasakan memakai tudung labuh ke sekolah,ana rasa selamat dan hati ana rasa tenang. Kemudian,perlahan-lahan ana mempraktikkan pemakaian tudung labuh di luar waktu sekolah. Tudung labuh pertama yang ana beli dan pakai ialah tudung berwarna hitam dan mempunyai garis-garis di tepi. Setelah itu,ibu ana menjahitkan ana tudung bulat juga berwarna hitam. Tidak lama selepas itu, seorang junior ana menghadiahkan ana tudung labuh berwarna pink. Penghijrahan ana bukan hanya kepada tudung sahaja,malah ana besarkan dan labuhkan juga baju yang ana pakai setiap hari. Penghijrahan ana disokong lagi oleh seorang teman, dia menghadiahkan ana tudung bulat yang labuh berwarna hitam dan krim. Ana sangat terharu dengan pemberiannya itu. Ibu Saudara ana juga ada menghadiahkan baju terpakai seperti t-shirt muslimah dan jubah mini kepada ana. Syukur ke hadrat Allah SWT, Dia mempermudah urusan hambanya yang inginkan taufik dan hidayah. Setelah itu,ana juga mendapat gelaran ‘Ustazah’ bukan sahaja di sekolah, malahan dalam kalangan ahli keluarga juga. Hal ini kerana dalam kalangan keluarga, hanya ana yang berpakaian seperti seorang ustazah. Ana tidak peduli apa pun gelaran untuk ana, hanya mengganggap itu sebagai doa. Mudah-mudahan dengan pakaian sopan dan menutup aurat akan terlahir akhlak yang mulia yang akan menjadi contoh kepada orang sekeliling ana.
            
            Apabila sudah melangkah masuk ke Universiti, ana lihat ramai sangat ‘kawan-kawan’ ana. Maksud ana ramai yang mengenakan tudung labuh,baju labuh dan longgar,macam yang slalu ana pakai. Dalam hati ana berbisik ‘budak sekolah agama kot…’ .Mungkin dalam hati orang lain pun berbisik perkara yang sama macam ana fikirkan. Tetapi ternyata perkara itu benar kerana setiap orang yang bertaaruf dengan ana pasti mengeluarkan ayat ini, “Anti dulu sekolah agama mana?” Hehehe… Setelah kenal ramai orang di universiti, minda ana semakin terbuka dan ana mula menambah satu lagi anjakan paradigma pada pemakaian ana iaitu ana memakai sarung kaki atau lebih dikenali sebagai stoking. Sebelum ini ana tidak pernah tahu bahawa kaki juga merupakan aurat yang perlu ditutup oleh setiap wanita muslim. Setelah ana tahu,ana pun memborong stoking setiap kali keluar membeli barang keperluan. Alhamdulillah…ana sangat bersyukur kerana semakin ana ingin berubah, semakin Allah dekatkan ana dengan orang-orang soleh yang berusaha menjaga nama baik Islam. Di Universiti juga terdapat banyak majlis ilmu diadakan sama ada di masjid mahu pun surau. Dan yang paling ana terharu apabila ada pensyarah ana yang mencuri sedikit waktu akhir pengajiannya semata-mata ingin menyampaikan sedikit pesan Rasulullah SAW.
          
           Dalam proses ana menjaga aurat dan akhlak,pernah juga beberapa kali ana diuji. Pada suatu hari ana memakai tudung bawal yang labuh,tetapi ana memakai ‘inner’ supaya tidak kelihatan leher ana. Lalu ada seseorang menegur, “Awak ni tak panas ke pakai tudung 2 lapis?” tanya hamba Allah tersebut. Ana menjawab sambil tersenyum, “Alhamdulillah,tak panas pun,malah lagi selesa.” Kemudian dia berkata lagi, “Pakai dengan stoking bagai,baju besar,tudung besar,’inner’ lagi tak mahal ke?Bankrap la laki kau nanti kena beli baju labuh semua mahal-mahal.” Ana mengambil keputusan untuk diam. Jika ana terus membalas kata-katanya,pasti ana tidak mampu untuk membuat dia faham. Seperti mana kata-kata Imam As-Syafie: “AKU MAMPU BERHUJAH DENGAN 10 ORANG YANG BERILMU, TETAPI AKU AKAN KALAH DAN TEWAS KEPADA SEORANG YANG JAHIL KERANA MEREKA TIDAK MENGETAHUI AKAN LANDASAN-LANDASAN ILMU"…Selain itu juga ana pernah diuji dengan kata-kata seperti “Kau ni harap saja bertudung labuh,tapi perangai pelik-pelik saja.” Ya,mungkin ana sesekali tersilap langkah kerana ana masih dalam proses untuk berubah, ada perkara yang mungkin akan membuatkan orang pandang pelik terhadap ana,tetapi ana juga manusia biasa,bukan Malaikat. Sudah tertulis yang namanya manusia pasti akan berbuat khilaf. Maka, sesiapa yang berasa tidak selesa dengan apa yang ana lakukan seharusnya menegur dengan cara yang baik,bukan memandang serong mahu pun mengherdik.Pernahkah anda terfikir mengapa pakaian yang labuh,besar dan yang mematuhi syariat itu MAHAL? Dan mengapa pakaian yang pendek,kecil serta tidak patuh syariat itu MURAH? Senang sahaja teori ana, “PAKAIAN YANG MEMATUHI SYARIAT ITU MAHAL KERANA SYURGA ITU TERSANGATLAH MAHAL UNTUK MENDAPAT TEMPAT DI DALAMNYA, MANAKALA PAKAIAN YANG TIDAK MEMATUHI SYARIAT ITU MURAH KERANA NERAKA ITU MURAH DAN MUDAH UNTUK DIMASUKI CUKUP DENGAN HANYA MENAMPAKKAN SEURAT RAMBUT.”


“…Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti…”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur : ayat 31)



No comments:

Post a Comment